Rabu, 24 April 2013

Budak perempuan ketagih iPad



LONDON 22 April - Seorang budak perempuan berusia empat tahun di sini, terpaksa menjalani rawatan
psikiatri kerana ketagih bermain iPad, sekali gus membuktikan ketagihan dalam kalangan kanak-kanak terhadap gajet elektronik.
Pakar psikiatri yang merawatnya, Dr. Richard Graham dari Klinik Capio Nightingale di London berkata, kanak-kanak itu merupakan satu daripada sejumlah 'pesakit' daripada golongan itu, yang menunjukkan sikap memberontak selepas menggunakan peralatan tersebut sejak kecil.
Dr. Graham berkata, kanak-kanak itu ketagih permainan video dalam iPad dan menunjukkan simptom mengamuk apabila peralatan tersebut diambil daripadanya.
Menurut beliau, kanak-kanak di tenggara England yang tidak didedahkan identitinya itu, ketagih permainan tersebut sejak berumur tiga tahun.
Sehubungan itu, Dr. Graham menyarankan ibu bapa kanak-kanak itu supaya segera merawat anak mereka, kerana seandainya menunggu sehingga dia berusia 11 tahun, masalah itu akan menjadi teruk dan kanak-kanak tersebut mungkin memerlukan rawatan jangka panjang.
"Ibu bapa perlu mengelak daripada memberi anak-anak bermain iPad kerana mereka mudah tertarik dengan permainan video dalam gajet itu.
"Apabila kanak-kanak tadi sudah ketagih, mereka akan memberontak dan sikap mereka sukar dikawal sekiranya tidak diberi bermain gajet itu," katanya.
Menurutnya, terdapat kanak-kanak yang menghabiskan masa selama 36 jam untuk bermain gajet elektronik dan membuka sehingga 20 akaun Facebook.
Satu tinjauan terkini mendedahkan, lebih daripada separuh ibu bapa di England membiarkan anak kecil mereka menggunakan gajet elektronik seperti iPad dan telefon pintar, sementara satu daripada tujuh ibu bapa membenarkan mereka menggunakan peralatan tersebut selama empat jam sehari.
Sebanyak 50 peratus ibu bapa mengakui, membelikan anak-anak mereka peralatan digital, manakala sebanyak 81 peratus ibu bapa percaya anak mereka akan leka apabila bermain dengan permainan tersebut dan memudahkan mereka melakukan kerja-kerja lain.
Klinik Dr. Graham mengenakan bayaran sebanyak 16,000 pound (RM74,000) untuk rawatan 'program menyahtoksik peralatan digital' bagi menjauhkan kanak-kanak dengan gajet elektronik seperti iPad dan telefon pintar.

Dua pencuri paling bodoh ditahan




LONDON 23 April - Dua orang rakan dari London Selatan digelar pencuri paling bodoh kerana berjaya mencuri lebih 35 buah kereta bernilai 500,000 pound (RM2.33 juta), namun meninggalkan bukti perbuatan jenayah mereka itu dalam telefon bimbit mereka.
Sam Holmes, 22, dan David Leadbeater, 23, dari Eltham, selatan London dilaporkan mencuri kereta-kereta tersebut termasuk jenis BMW dan Audi di Kent dan Surrey dalam tempoh 40 hari.
Walaupun menukar nombor plat kenderaan terbabit untuk mengelak dikesan, kedua-dua pencuri itu mengambil gambar kereta-kereta berkenaan menggunakan telefon bimbit mereka.
Holmes dan Leadbeater turut mengambil gambar duduk dalam sebuah daripada kereta tersebut.
Polis berkata, kedua-dua lelaki tersebut mungkin menganggap diri mereka pencuri hebat, namun mereka meninggalkan banyak bukti.
''Leadbeater ditahan oleh polis ketika memandu sebuah kereta Mini Cooper yang dicuri di Southend, Essex pada Julai lalu.
''Selepas polis memeriksa telefon bimbitnya, mereka menemui sejumlah gambar dia dengan kereta-kereta yang dicuri,'' katanya.
Polis berkata, Holmes ditahan selepas polis menemui gambarnya dalam sebuah kereta Mini Cooper yang dicuri, di telefon bimbitnya.
''Kebanyakan kereta yang mereka curi berjaya ditemui semula selepas penangkapan mereka,'' katanya

Bank bantu jimat kos perkahwinan

Seoul: Bank Korea biasanya akan sibuk menguruskan dasar kewangan dan kadar faedah tetapi mulai bulan depan bank berkenaan akan menjadi tempat perkahwinan berlangsung.

Sebagai penganjur, bank akan meletakkan potret bekas Gabenor Bank Pusat di auditorium tempat perkahwinan dilangsungkan. 
Berikutan itu, kakitangan Bank Korea akan dibenarkan berkahwin dalam bangunan itu pada hujung minggu, lapor memo dalaman awal bulan lalu. 


Petugas Bank Korea akan dibenarkan berkahwin di tempat kerja mereka pada hujung minggu dengan memo dalaman mengesahkannya.

Soal keselamatan

Auditoirum besar itu memang digunakan oleh pekerja sebelum ini tetapi ia tidak digalakkan kerana sebab keselamatan, kata pengurus perhubungan awam dan jabatan pengurusan.

Kami bersetuju membuka semula beg itu kerana kami sudah mengambil langkah keselamatan, katanya yang berkahwin di auditorium itu dan berupaya menempatkan 200 orang. 
Majlis perkahwinan

Bank itu mula membuka pintu majlis perkahwinan pada 1990-an.
Sementara itu, kediaman rasmi Presiden yang digelar Blue House turut membuka satu kawasannya bagi memilih pasangan paling bernasb baik untuk mengadakan majlis perkahwinan di situ.

Kedutaan Perancis kena bom

Tripoli: Ledakan bom kereta menyasarkan kedutaan Perancis di ibu negara Libya, semalam, mencederakan dua pengawal dan seorang remaja, serangan pertama sejak misi diplomatik Amerika Syarikat (AS) diserang di Benghazi, tahun lalu. 

Bahan letupan dalam kereta itu diletupkan di luar bangunan kedutaanm di kawasan mewah al-Andalus awal pagi sebelum kakitangan tiba, kata pegawai keselamatan.